Pages

Saturday, September 3, 2016

SIRI 4 : FIRQAH-FIRQAH UMAT ISLAM


Setelah hampir seminggu baru dapat mencari sedikit ruang masa menyelesaikan audio ke-4 siri penerangan tghh berkenan firqah-firqah umat islam...semoga mendapat manfaat dan membina kefahaman bersama..Jika terdapat kesalahan pada ejaan nama individu yang disebut boleh betulkan pada ruangan komen,kerana audio ke-4 sedikit terganggu dari segi kejelasan p.a systemnya..
-Itqan-

************************************
Sebagai penganut islam,tetapi amat mendukacitakan kerana di antaranya ada juga golongan yang dihukum keluar dari islam,kerana fahaman mereka membatalkan aqidah iaitu kerana menafikan salah satu dari rukun iman  atau menyeleweng daripadanya ,atau membatalkan hukum syariat ,atau memindanya seperti menghalalkan  yang haram atau mengharamkan yang halal ,atau beriman dengan sebahagian  dan menolak sebahagian yang lain secara ingkar yang tidak boleh ditakwil melainkan kerana tidak percaya.

Ada juga yang menjadi alat  secara terang-terangan kepada musuh islam  atau memberi kesetiaan kepada kafir  walaupun dalam menghadapi orang-orang yang beriman yg menunjukkan tidak setia lagi kepada islam,dalam keadaan mereka tetap mengaku sebagai orang-orang islam  dan beramal dengan sebahagian daripada ajarannya.

Timbulnya berbagai-bagai mazhab aqidah  dan aliran pemikiran  di dalam masyarakat islam  kerana sebab-sebab dari dalam masyarakat islam  dan juga punca daripada luar  sehingga melahirkan  berpuluh mazhab dan berpecah lagi kepada beratus  cabangnya .Perlu diketahui bahawa  di antara mazhab yang salah ini,ada yang keluar daripada agama islam,dan ada yang masih islam (mereka salah tetapi tidak terkeluar dari islam) seperti syiah zaidiah dan syiah ja’fariah imamiah ,dan mazhab khawarij ibadhi .Kumpulan ini salah dari segi beberapa hukum  tetapi mereka tidak keluar daripada agama islam.Oleh kerana itulah ,mereka juga tunaikan haji di Makkah sama seperti kita,mereka juga menunaikan solat 5 waktu sama seperti kita ,menghadap kiblat yang sama ,Cuma mereka khilaf dalam beberapa masalah hukum ,dan mereka menolak hadis-hadis yang sohih  tetapi menerima hadis-hadis yang dhoif  dalam perkara cabang.

Sebagai contoh mazhab Ibadhi yang menunaikan solat,berpuasa dan menunaikan haji yang sama seperti kita ,juga menerima hukum syariat seperti hudud ,namun mereka mengatakan potong tangan sehingga bahu.Perkara ini salah dan tidak menepati huraian di dalam hadis-hadis sohih kerana mereka menolak hadis-hadis yang sohih .

Sebagai contoh lagi dalam kalangan syiah mereka menganggap Saidina Ali lebih layak berbanding Saidina Abu Bakr,Umar & Uthman  dalam keadaan mereka terpaksa mengiktiraf mereka sebagai khalifah.Sedangkan susunan khalifah yang dibuat adalah mengikut syura.

Mazhab zaidiah pula berpegang kepada mazhab muktazilah dalam perkara Tauhid .Muktazilah ialah pandangan yang ditafsir menggunakan akal .Kelompok-kelompok yang disebutkan tidaklah keluar dari Islam,tetapi mereka mempunyai pandangan yang salah.

Kafir-Mazhab Syi’ah Ismai’iliah atau golongan ‘alawiyah ataupun Nusairiah yang memerintah Syria pada zaman kini.Mazhab ini terkeluar dari Islam kerana mereka tidak menunaikan solat sekalipun mereka mengaku luaran sbg islam.

Golongan baha’i pula menganggap pemimpin mereka adalah Nabi  selepas kewafatan Rasulullah saw .Ajaran qadhiani,ahmadiah-mirza ghulam ahmad  menganggap ghulam ahmad sebagai Nabi.Kesemua ini batil dan merosakkan.Ada pula sebahagian golongan yang beramal dengan sebahagian dan meninggalkan lagi sebahagian.

Kesemua ini adalah perkara yang mengelirukan dalam masyarakat islam.Para ulama’ tarikh islami meriwayatkan  berlaku di abad pertama Hijrah munculnya 2 orang yang menjadi punca kemunculan fikrah  yang tidak berdasarkan kepada al-Quran  dan as-sunnah yang melibatkan perkara aqidah ,kedua mereka dipercayai berpura-pura  memeluk islam bagi merosakkan penganutnya  dari dalam.
Individu pertama seorang nasrani yang bernama sosan ,dia berjaya menggunakan seorang yang bernama Ma’bad bin Ubaidilah al-Juhani dengan menunjukkan ajaran yang dinamakan Qadariah  yang mengatakan bahawa Qadar  baik dan buruk  dari hamba dan bukannya dari Allah swt,serta membataskan qudrah dan iradah Allah swt dan ia mengatakan bahawa manusia itu mempunyai qudrah dan iradahnya .Mereka berjaya memasuki bandar suci Madinah  dan berjaya mempengaruhi beberapa orang di kalangan penduduknya.

Abdullah bin Umar r.a mengisytiharkan bahawa dia menolak sekeras-kerasnya ajaran yang dibawa oleh Ma’bad .Imam Hassan al-Basri rhm berkata jauhkan diri dari Ma’bad kerana dia sesat dan menyesatkan .Muslim bin yasar rhm (ulama’ tabiin) mengisytiharkan di dalam masjid tempat dia mengajar “Ma’bad berucap dengan ucapan orang nasrani” akhirnya khalifah Malik bin Marwan memerintahkan supaya dijatuhkan hukuman bunuh ke atasnya.

Kemudian perjuangan Ma’bad diteruskan oleh Ghilam bin Marwan atau ibnu Muslim dengan beraninya dia berkata “qadar baik dan buruk itu dari hamba yakni bukannya dari Tuhan” akhirnya dia diambil tindakan keras oleh khalifah Hisyam bin Abd Malik ,dia ditangkap dan dikerat tangan dan kakinya dan dibunuh.Dia dijatuhkan hukuman yang keras kerana mempermainkan agama.

Kisah yang kedua tentang seorang Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba’ ,dia berpura-pura memeluk islam dan berpura-pura menyokong Saidina Ali b Abi Talib r.a kerana mengatakan saidina Ali mencapai tahap kenabian .Mereka menganggap saidina Ali hidup semula dan duduk di kayangan,bunyi guruh adalah suaranya,kilat pula bermakna kilatan pedangnya  .Ini adalah kepercayaan karut,sehingga mempengaruhi juga orang-orang Melayu masyarakat ini .Ajaran dan fahaman ini adalah ajaran yang dibawa oleh Abdullah bin Saba’

Abdullah bin Saba’ juga mengatakan saidina Ali tidak mati,bahkan satu juzuk daripada ketuhanan menjelma di dalam dirinya di samping menimbulkan pelbagai fahaman yang lain terhadap Saidina Ali r.a

Di akhir abad pertama dan di awal abad kedua Hijrah muncul pula Jaham bin Safwan dengan menimbulkan satu aliran fahaman yang dinamakan Jabariah .Dia berjaya menarik beberapa orang pengikut dan akhirnya mengisytiharkan kenyataannya bahawa ilmu dan qudrah Allah itu ada kesudahannya (bermakna tidak kekal),syurga,neraka dan penduduknya juga akan binasa dan tinggallah Allah sahaja seperti awalnya tiada sesuatupun.Golongan ini juga berkata bahawa iman itu hanyalah makrifatullah sahaja tanpa mengira perlu solat mahupun melaksanakan perkara islam yang lain,fahaman seperti ini kafir dan murtad.Golongan ini menambah lagi bahawa kufur itu ialah menjahilkan Allah sahaja dan tidak ada perbuatan langsung yang lain .

 Sbg contoh fahaman ini: Tidak kafir bagi yang mengatakan solat itu tidak wajib selagi dia percaya pada Allah swt.

Akhirnya Jaham bin Safwan ini dibunuh ,dia telah ditangkap pada zaman Kerajaan Abbasiyyah dan dijatuhkan hukuman bunuh .Di tengah-tengah kekalutan fikrah itu Allah melahirkan para ulama’ mujaddid yang mempertahankan islam .Ulama’ yang membawa gerakan pembaharuan iaitulah gerakan yang mengislah dan membetulkan kefahaman umat islam dengan berani dan ikhlas dan menegakkan hujjah melalui al-Quran dan as-sunnah serta hujah aqliah yang berpandukan kepada kedua-duanya.

Lahir pada ketika itu,ulama’-ulama’ yang berani mempertahankan islam kerana dalam beberapa masa,ajaran yang sesat ini dianut oleh kerajaan,raja dan khalifah seperti ajaran muktazilah yang dianuti oleh khalifah al-Makmun.Ajaran ini tidak betul dan menyeleweng sekalipun ia tidak terkeluar daripada Islam,namun ia boleh merosakkan aqidah sedikit demi sedikit .

Ulama’ yang mengampu kerajaan mengatakan ajaran ini betul .Lahir juga ulama’ yang berani,Ahmad bin Nuh dijatuhkan hukuman mati ,Muhammad bin Nazor al-Khuzaie dijatuhkan hukuman pancung juga tetap mengatakan ajaran ini ajaran yang menyeleweng,Imam Ahmad bin Hanbal dipenjara tatkala ulama’ lain tidak berani mempertahankan islam .

Antara ulama’ lain yang mempertahankan islam ialah Imam Hassan al-Basri rhm,beliau merupakan anak murid kepada Saidina Ali r.a ,ulama’ tabiin yang belajar daripada para sahabat radhiallahuanhum.Beliau dengan tegasnya menolak Wasil bin ‘Ato  yang membawa ajaran muktazilah ,perkara ini berlaku pada awal abad ke-2 Hijrah dimana beliau mengatakan bahwa  orang melakukan dosa besar tidak islam,tidak juga mukmin dan tidak kafir tetapi masuk ke neraka bahkan       مخلدون في النار iaitu kekal di dalam neraka ,khawarij pula mengatakan bahawa orang yang mengerjakan dosa besar adalah kafir dan mereka berpegang kepada hadis

لا يزن الزاني وهو مؤمن

Orang yang berzina tidak akan berzina dalam keadaan dia beriman.

Mereka berpegang kepada hadis ini ,dan mengatakan orang yang berzina tidak beriman dan kekal dalam neraka .Imam Hassan al-Basri mengatakan “tidak,mereka ini masih beriman kerana thabit jenazah mereka disembahyangkan oleh Nabi saw .” Nabi juga mengatakan bahawa diampunkan dosanya jika mereka bertaubat,dan di sana ada hadis-hadis yang menceritakan seorang pelacur di kalangan Bani Israel ,Allah ampunkan dosanya dan dia menjadi seorang yang baik .Perkara ini ada disebutkan dalam hadis menunjukkan bahawa dosa besar tidak menyebabkan seseorang itu menjadi kafir .

Wasil bin ‘Ato merupakan anak murid kepada Hassan al-Basri ,belajar di masjid dengannya namun dalam bab ini dia mukhalafah dengan gurunya dengan mengatakan

أنه ليس بمؤمن ولا بكافر مخلدون في النار

Orang yang melakukan dosa besar tidak beriman dan tidak kafir,kekal dalam neraka

Imam Hassan Al-Basri berkata :

اعتزلت منا

Engkau telah mengasingkan diri daripada kami

Daripada ucapan Imam Hassan al-Basri tadi maka puak-puak ini dinamakan mu’tazilah iaitu puak-puak yang mengasingkan diri krn berfikiran menggunakan akal .Puak-puak ini juga wujud pada abad ini menggunakan akal dan menolak nas-nas yang sorih.

Di awal abad ke-3 Hijrah muncul pula Abu Mansur al-Maturidi yang bersungguh-sungguh menolak hujah-hujah golongan batil dan beliau berjaya mengumpulkan pengikut-pengikut bersama-samanya  bagi mempertahankan aqidah ahli sunnah wal jamaah  yang dikenali dengan golongan Maturidiah .Kemunculan Abu Hassan al-asy’ari membawa kekuatan yang besar kepada ahli sunnah wal jamaah apabila beliau keluar dari mu’tazilah dan berjaya dalam debat dengan seorang pemimpin mu’tazilah yang bernama al-Juba’ie (Abu Ali al-Jubaie ) yang menjadi bapa tirinya sendiri.Beliau berjaya membina angkatan yang dianggotai oleh ulama’-ulama’ terbilang di zamannya ,di mana angkatan itu dinamakan asya’irah.

Abu Hassan al-asy’ari pada asalnya adalah mu’tazilah,beliau belajar dengan bapa tirinya sendiri.Bapa tirinya seorang yang alim namun berfahaman mu’tazilah ,akhirnya kematangan dan ilmu yang dipelajari  Abu Hassan al-asy’ari daripada ulama’ menyebabkan dia berdebat dengan bapa tirinya ,dan akhirnya bapa tirinya kalah dalam perdebatan ini.

Negeri Iraq merupakan tempat pergolakan hebat terutamanya di Basrah ,peperangan kuasa-kuasa besar dunia sejak sebelum zaman Rasulullah saw lagi.Iskandar Zulqarnain berperang dengan Parsi di Iraq ,Parsi dan Rom berperang juga di Iraq ,zaman Islam juga banyak peperangan di Iraq,Saidina Husin juga dibunuh di Iraq ,sehingga ke hari ini pun Iraq masih bergolak,dan lahirnya banyak fahaman juga di Iraq .

Negara tersebut menjadi tempat pergolakan hebat terutamanya di Basrah  dimana terdapat pelbagai penganut berbagai-bagai fahaman itu,dan yang paling mencabar apabila pemerintah menjadi penyokong kepada fahaman itu sehingga ulama’ menjadi sasaran tindakan zalim sama ada dipenjara atau dibunuh. Walau bagaimanapun jaminan Allah untuk memelihara agama ini sehingga hari kiamat tetap menjadi kenyataan yang tidak syak lagi.

Perkara tersebut menjadi ujian kepada seluruh umat para anbiya’ alaihissolatu wassalam sebagaimana yang dinyatakan oleh hadis Rasulullah saw :

عن ابن مسعود رضي الله عنه : أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال : مَا مِنْ نَبِىٍّ بَعَثَهُ اللَّهُ فِى أُمَّةٍ قَبْلِى إِلاَّ كَانَ لَهُ مِنْ أُمَّتِهِ حَوَارِيُّونَ وَأَصْحَابٌ يَأْخُذُونَ بِسُنَّتِهِ وَيَقْتَدُونَ بِأَمْرِهِ ثُمَّ إِنَّهَا تَخْلُفُ مِنْ بَعْدِهِمْ خُلُوفٌ يَقُولُونَ مَا لاَ يَفْعَلُونَ وَيَفْعَلُونَ مَا لاَ يُؤْمَرُونَ فَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِيَدِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِلِسَانِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَمَنْ جَاهَدَهُمْ بِقَلْبِهِ فَهُوَ مُؤْمِنٌ وَلَيْسَ وَرَاءَ ذَلِكَ مِنَ الإِيمَانِ حَبَّةُ خَرْدَلٍ

Ertinya : Dari Ibn Mas’ud R.a bahawa Rasulullah saw bersabda ‘Tiadalah seseorang nabi yang dibangkitkan oleh Allah di kalangan umat sebelumku melainkan ada di kalangan umat itu para pengikut setia dan sahabat yang mengambil ajarannya dan mengikut perintahnya .Setelah berlalunya masa,ada di kalangan mereka umat itu yang melakukan perkara yang jahat dimana mereka bercakap perkara yang mereka tidak lakukan ,dan mereka melakukan perkara yang tidak disuruh ,maka sesiapa yang berjihad menentang dengan tangannya dia beriman,dan sesiapa yang berjihad menentang dengan lidahnya dia beriman,dan sesiapa yang berjihad menentang dengan hatinya maka dia beriman,tiada lagi iman selepas itu walaupun sebesar biji yang halus.

Hadis ini adalah amaran Nabi saw tentang penyakit yang berlaku kepada umatnya sebagaimana yang berlaku kepada umat terdahulu .Setiap nabi yang terdahulu yang diutuskan oleh Allah mempunyai sahabat-sahabat yang setia ,yang berjuang bersama Rasul itu ,yang sanggup hidup dan mati bersama Rasul itu .Setelah Rasul itu wafat ,maka sahabat-sahabat dan anak muridnya itulah yang meneruskan ajaran Rasul .Tetapi apabila masa semakin lama semakin haru dan menyeleweng  menyebabkan ada yang melakukan kerja yang sesat di antaranya apabila mereka bercakap tentang agama tetapi mereka tidak beramal.Cukup syarat tetapi tidak beramal,mengada-adakan sesuatu yang tidak ada dalam agama

Nabi bersabda

من أحدث في أمرنا هذا ما ليس منه فهو رد

Sesiapa yang mengadakan perkara baru dalam urusan agama kami,padahal ia bukan dari ajaran agama ,maka ia ditolak

Maka lahirnya berbagai-bagai ajaran sama ada ajaran pada zaman dahulu dan termasuklah ajaran moden di zaman sekarang yang dinamakan ideology ,jika ia bercanggah dengan al-Quran dan hadis maka hendaklah ia ditolak .Kerana itulah kita selalu membaca al-Fatihah pada setiap rakaat,semoga kita ditunjukkan dengan jalan yang lurus.Ini bermakna,dalam hidup kita penuh dengan ujian terutamanya ujian fikiran yang boleh mengganggu aqidah dan pegangan kita.


Wallahu a’lam

0 comments :