Pages

Monday, November 10, 2014

Kemuliaan bagaimana yang dicari?



Allah berfirman di dalam surah Fatir :

من كان يريد العزة فلله العزة جميعا

إليه يصعد الكلم الطيب والعمل الصالح يرفعه

Maksudnya:”Barangsiapa menghendaki kemuliaan ,maka (ketahuilah) kemuliaan itu semuanya milik Allah .KepadaNya lah akan naik perkataan –perkataan yang baik dan amal kebajikan DIA akan mengangkatnya.” (35:10)
Mulia seseorang kerana Allah telah memuliakannya
Hina seseorang kerana ia telah dihinakan oleh Allah.



Di dalam tafsir Munir karangan Dr Wahbah Az-Zuhaili ayat ini mengatakan kemuliaan sebenar seorang muslim mukmin adalah pada ketaatannya kepada Allah Sang Khaliq Alam.Perkataan-perkataan yang baik pula adalah kalimah “La ilaha illaLLAH” dan dikatakan juga semua zikir yang mendekatkan diri kepada Allah.Manakala amal kebajikan adalah amar makruf nahi munkar ataupun kita istilahkan dalam bahasa yang lain adalah gerak kerja amal Islami

Dengan dua perkara ini,Allah akan memuliakan kita serta akan diangkat disisiNYA.

Amalan hati lebih utama berbanding amalan anggota namun keduanya  mestilah seiring.Tidak akan berjaya seorang pejuang agama Allah yang hebat bertempur di medan Jihad jika tiada “connection” dengan Allah,dan tidak akan diredhai seorang abid yang menangis berterusan di malam hari hanya beribadah kepada Allah namun meninggalkan gerak kerja amal Islami.

Satu syair yang masyhur oleh ‘Abdullah bin Mubarak kepada Fudhail Bin Iyadh mengenai Jihad yang sebenar ketikamana beliau diajak agar menikmati kelazatan beribadah kepada Allah untuk meninggalkan jihad.

Abdullah bin Mubarak menghantar satu surat berisi syair kepada Fudhail Bin Iyadh

يا عابد الحرمين لو أبصرتنا 

 لعلمت أنك في العبادة تلعب

من كان يخضب خده بدموعه

فنحورنا يوم الصبيحة تتعب

ريح العبير لكم ونحن عبيرنا

 رهج السنابك والغبار أطيب

Wahai Abid dua tanah suci (gelaran bagi Fudhail Bin Iyadh),jika kau melihat kami

Nescaya kau mengerti bahawa kau hanya bermain-main dalam ibadah

Kalau pipi saudara dibasahi air mata,sedangkan leher-leher kami pula bermandi darah

Jika kudamu lelah dalam kebatilan,kuda kami kepenatan di medan juang

Kamu dibelai haruman bunga-bungaan,haruman kami debu-debu suci hentakan kaki kuda

Debu itulah yang baik

Allah..setelah Fudhail Bin Iyadh membaca syair ini,deraslah air mata yang mengalir lalu diinsafi atas segala ibadahnya sedangkan di sana ada insan2 yang lebih menderita berjuang menegakkan agama Allah.

Hadith ada menyatakan:

 من مات ولم يغز ولم يحدث به نفسه مات على شعبة من نفاق

Sesiapa yang mati sedang beliau tidak pernah berperang di jalan Allah dan tidak penah berniat untuk berperang,maka ia mati dalam keadaan salah satu cabang nifaq (HR Muslim)

Berbalik dalam surah Fatir di atas,kemuliaan di sisi Allah adalah apabila kita bersama Islam dan kita yang membantu menyebarkan Islam sehingga ke segenap muka bumi ini di samping menjaga kalimah tayyib (La ilaha illaLLAH) dan melaksanakan amal kebajikan (amal Islami)

Berusaha memperbaiki amalan hati di samping amalan anggota.Mudah2an kita memperolehi kemuliaan disisi ALLAH 

Bilamana kita menyenaraikan taklifan yang kita ada,betapa banyaknya amanah yang perlu dilunaskan.Selain seorang pekerja di medan amal Islami ini,kita juga adalah seorang dai yang ada mad’u.Kadang2 kita mungkin berjaya menjadi pekerja amal islami dengan baik tetapi Allah uji aspek dakwah,apabila mad’u kita lari dari seruan yang dibawa.Di manakah silapnya?

Di dalam sebuah kitab “SIFAT SEORANG DAIE” karangan Abdullah Nasih Ulwan beliau menggariskan 5 sifat utama :
1)Keimanan
2)Keikhlasan
3)Keberanian
4)Kesabaran
5)Positif

Jadikan baginda Rasulullah saw qudwah dalam kita berjihad,berdakwah,menyucikan hati dan diri.Semoga mata kita memandang dengan pandangan yang diredhai Allah,mulut kita mulut yang bicara dengan bicara yang diredhai Allah,pergerakan yang mendapat naungan Allah,serta membuat keputusan dengan ilham dari Allah.

ITQAN
11/11/2014
7 am

0 comments :