Pages

Monday, February 4, 2013

LANGKAH MUJAHID



    Pagi itu akan mengubah segalanya,harapan dan sinar yang bercahaya bakal menerangi hidupnya.Langit kelihatan putih bersih sedikit kebiruan.Kepulan awan berarak perlahan.Hembusan angin semilir dari hujung bandar menyamankan setiap tubuh yang merasainya.Matahari pula gagah berdiri membiaskan cahayanya ke seantero alam.Semuanya bertasbih memuji ALLAH Sang Penguasa Alam,tidak ada satu pun yang menidakkan titahNYA.Ketaatan mereka yang tidak kenal batas waktunya.

  Surat tawaran untuk menyambung pelajaran ke luar negara digenggam kemas.4 jam dari sekarang dia akan terbang tinggi membelah awan mencoret satu perjalanan yang luar dari biasa.Dia pasti teman-temannya juga teruja untuk bergelar seorang mahasiswa di salah sebuah universiti tertua di dunia.

“Along,barang-barang dah masuk kereta.Jom kita bertolak.” En Amin memulakan bicara.Segaris senyuman terukir di bibirnya.Di dalam hati selaut kesyukuran kepada illahi kerana putera sulungnya akan merantau jauh demi menggali mutiara ilmu di bumi para anbiya’ dan  auliya’ Mesir.

“Baik abah.” Sahut Mujahid taat akan ayahnya.Dia memang seorang anak yang soleh,malah tidak pernah meninggikan suara kepada kedua orang tua.Baginya perbuatan  menderhaka kepada ibu bapa tidak layak dilakukan pada semua yang bergelar anak.Perintah menghomati dan berbuat kepada keduanya ada disebutkan di dalam kitab suci al-Quran dan juga hadith .

Muslim meriwayatkan daripada Ibn Umar r.a bahawa Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebaikan yang paling utama adalah seseorang memelihara hubungan baik dengan orang tuanya.”

(Riwayat Muslim no 2552)

Ibunya awal-awal lagi sudah berada di seat hadapan manakala adik-adiknya di seat bahagian belakang,masing-masing teruja ingin menghantar abang mereka di Kuala Lumpur International Airport (KLIA).

Pertama kali ada di antara ahli keluarga Hj Amin yang melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Bismillah mengiringi langkah perjalanan .Mujahid menatap lama kediamannya buat kali terakhir sebelum berangkat.Jika diizinkan ingin dikucup tanah yang bakal ditinggalkan ini.Tanah tempat ia bermain dan membesar. Sayu hatinya.

Empat tahun satu tempoh yang agak lama baginya.Dia berharap agar masa berlalu dengan pantas supaya  semuanya terasa singkat.Al-azhar memang impiannya sejak kecil.Mempelajari ilmu dengan para masyaikh dan beramal dengan ilmu tersebut  itulah azam dan hadaf  1 nya memilih Mesir sebagai medium menyambung pelajaran setelah STAM 2 .

“Kenapa kau beriya sangat nak ke Mesir?kau ni aku tengok sesuai jadi doctor ke,pilot ke.Apa brand ke Mesir?Pergilah UK,London paling-paling pun Jepun barulah standard”Tanya seorang kawannya.

Ketika itu mereka masih di tingkatan 5.Mujahid seorang pelajar genius di kelas 5 Al-Jabbar satu-satunya kelas sains Tulen di sekolah tersebut,dia sering sahaja mendapat straight A di dalam semua matapelajaran.Guru-guru sering meletakkan harapan yang tinggi kepadanya

Tangan kanan yang sedang mencoret nombor-nombor di atas kertas kajang sambil tangan kirinya ligat menaip kalkulator berhenti serta merta.Matematik tambahan adalah subjek yang paling digemarinya.Lebih-lebih lagi apabila ditelaah petang-petang yang bosan begitu,sesuai dijadikan riadah akal.Satu pandangan kosong dilemparkan kepada kawannya Muaz  yang duduk di kanannya.

Kipas siling yang ligat berpusing seolah tidak mengeluarkan sebarang manfaat,cuaca panas terik pada petang itu mengatasi kipas singer yang berkelajuan 4 itu.Keterikan begitu sudah membuatkan sesiapa sahaja tidak mahu turun ke kelas Prep3.Kalaupun turun,mereka tidak akan belajar  jama’i bahkan tidur jama’i4.

“Mesir.Namanya disebut di dalam al-Quran 5 kali.Di sana terdapat al-Azhar,sebuah universiti tertua di dunia.Ramai juga ulama’ lahir dengan didikannya.”Laju meluncur di bibirnya tanpa berfikir .

“Aku berazam,aku sudah tekad,apa pun yang terjadi kedua kaki aku ini akan ku jejaki Universiti al-Azhar.InsyaALLAH.”Sambungnya lagi dengan nada yang sungguh yakin.

“Wow,kau dah ada gaya ustaz la.Ok sesuai sesuai,memang patutla kau pilih Mesir”Muaz menyindir.

Helaan nafas berat dilepaskan.

‘Muaz,Muaz,kesian kau.Otak pandai tapi hati mati.’Ngomelnya sendirian di dalam hati.

Bukan sekali dua dia dipersendakan begitu.Hairan dia akan sikap Muaz,kuno sangatkah orang yang belajar agama.Pedulikan saja kata-kata dan pandangan orang,dia tetap dan teguh dengan pendirian.Dia mahu mendalami semua ilmu apatah lagi ilmu agama.Maka padanya Mesir adalah gedung segala ilmu.

Kereta estima silver milik bapanya meluncur laju membelah jalan melenyapkan segala lamunannya sebentar tadi.Gelak tawa seluruh ahli keluarga mengembalikannya ke dunia realiti,sebentar lagi kesedihan bakal menyelubungi dan semuanya akan menjadi kenangan.

...............................................................................................................................................................

Seawal jam 7 pagi semua pelajar yang mendapat tajaan dermasiswa zakat Majlis Agama Islam Selangor lebih kurang 100 orang telah berkumpul di Terminal 3,KLIA.Masa penerbangan yang tertulis di tiket adalah pada jam 10.00pagi.Ini bermakna masih berbaki 3 jam lagi untuk mereka bersama keluarga masing-masing.

Di satu sudut dia melihat Rashid teman sekelas ketika kursus persediaan ke Mesir sedang bersama keluarga besarnya.Sungguh mengharukan apabila nenek dan sanak saudaranya juga menggagahkan diri untuk turut menghantar.Besar sungguh harapan mereka itu sudah pasti.




Di dalam kesesakan pelajar-pelajar dan keluarga masing-masing,mata Mujahid masih meliar ke sana ke mari mengharapkan sesusuk tubuh menghantar pemergiannya.Sesekali dikerlingnya jam hitam berjenama QQ yang terbalut kemas di pergelangan tangannya.Tepat jam 9 pagi.

Segaris kerutan di dahi tanda kerisauan.

“Along kenapa?Mari duduk.”seru ibunya Puan Khadijah melihatkan putera sulongnya yang mundar mandir seolah-olah baru kematian anak.

Satu senyuman dihadiahkan kepada ibunya yang dicintai.

“Kejap ye ibu.”Matanya masih x lepas memandang ke eskalator sambil berjalan ke sana ke mari.Ditoleh jam sekali lagi.

“Assalamualaikum Mujahid.”Satu suara lembut lagi menenangkan menyapa dari arah belakang.Dia cukup kenal dengan pemilik suara itu.Tanpa berlengah lagi dia menoleh lalu menerpa kearah insan itu.




BERSAMBUNG...

itqan zawwini
Cairo




0 comments :