Pages

Wednesday, August 24, 2016

أيها الشباب !

p/s: Siri ke4 audio TGHH masih belum habis dengar,jadi masih belum boleh publish.Kuliah TGHH memerlukan fokus tahap tinggi..apabila selalu dengar sambil melakukan kerja2 lain,maka tidak mampu dicerna akal dgn baik :) insyaAllah gai.

Dibawah ini adalah petikan penulisan IMAM HASSAN AL-BANNA .Semoga dapat kita hayati
Artikel yang memang bersarang lama di dalam dokumen laptop ini..
-ITQAN-

Wahai angkatan pemuda!  
Sudut yang paling merbahaya sekali dalam sesuatu umat yang sedang membangun-terutama di ketika masih dalam peringkat permulaan kebangkitan ialah lahirnya berbagai corak fikrah dan pegangan, pelbagai seruan, bermacam-macam program, pelbagai langkah dan cara yang bersimpang siur di samping lahirnya begitu banyak orang-orang yang berlagak penganjur dan pemimpin. Semua itu hanya memecah belahkan tenaga serta mencerai beraikan kekuatan yang sedia ada lalu mengendalakan tercapainya segala matlamat yang dituju.
Menyedari hal inilah maka suatu kajian terhadap segala fikrah tadi serta suatu analisa perbandingan di antaranya merupakan suatu persoalan yang asasi yang mesti dilakukan oleh setiap orang yang benar-benar inginkan reformasi.
Memandang semua inilah saya berasa berkewajipan menerangkan dengan jelasnya kepada anda sekalian dari hal hakikat dan program dakwah Islam untuk kurun yang ke-14 hijrah ini.

Dakwah Islam Dalam Kurun Yang Keempat Belas Hijrah


Wahai angkatan pemuda !
Sebenarnya kita telah pun beriman tanpa sebarang keraguan atau prasangkaan malah kita sudah pun yakin dengan sepenuhnya sekira-kiranya keyakinan kita ini lebih kukuh dan tegap dari gunung-ganang yang memasak bumi, lebih dari segala lubuk hati sanubari bahawa tidak terdapat sebarang apa pun jua fikrah perjuangan melainkan hanya satu sahaja fikrah yang benar-benar mampu menyelamatkan dunia yang sedang terseksa, yang benar-benar mempunyai daya upaya membimbing kemanusiaan yang sedang berada di dalam keadaan tercengang-bangang, dan yang benar-benar sanggup memimpin umat manusia ke arah jalan yang sewajarnya.
Fikrah atau ideologi perjuangan yang seperti itu mustahak diberi segala pengorbanan demi meninggikan kedudukannya, demi memperkenalkannya serta mendorong umat manusia supaya menghayati dengan segala jiwa raga serta memberikan dari sekecil-kecil pengorbanan hinggalah semahal-mahalnya.
Fikrah yang tunggal ini tidak lain dan tidak bukan ialah “Islam yang maha suci” yang sekali-kali tidak terdapat di dalamnya sebarang apa pun jua penyelewengan, keburukan dan kesesatan yang akan menimpa sesiapa yang mengikutnya.
Allah berfirman(Al-Imran:18-19):
شَهِدَ اللَّهُ أَنَّهُ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ وَالْمَلَائِكَةُ وَأُوْلُوا الْعِلْمِ قَائِمًا بِالْقِسْطِ لَا إِلَهَ إِلَّا هُوَ الْعَزِيزُ الْحَكِيمُ إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Allah menjadi saksi, dan para malaikat dan ahli cerdik pandai bahawa tidak ada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang berlaku adil terhadap makhluknya, tidak ada Tuhan melainkan Dia Maha Gagah lagi Maha Bijaksana. Sesungguhnya ugama yang di sisi Allah itu ialah Islam.
Suatu lagi firman Allah (Al-Maidah:3):
الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمْ الْإِسْلَامَ دِينًا
Hari ini Aku sempurnakan bagi kamu akan ugama kamu, dan Aku penuhkan kepada kamu nikmatKu, dan redhalah Aku Islam itu sebagai ugama bagi kamu.
Jelas bahawa fikrah perjuangan kita hendaklah fikrah yang bersifat Islam dengan setulin-tulinnya. Di atas dasar Islamlah fikrah kita berpijak, daripada sumbernyalah kita mendapat petunjuk. Kerana Islam maka kita ini berjuang dan demi kerana meninggikan kalimahnya maka kita bekerja serta bertindak. Fikrah kita tidak sekali dapat menyamakan sebarang sistem dengan sistem Islam, tidak sekali-kali redha mengikut sebarang pimpinan yang lain malah fikrah kita sekali-kali tidak akan patuh kepada apa jua hukum melainkan Islam.
Allah berfirman (Al-Imran : 85):
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ
Dan barangsiapa mencari ugama selain dari Islam maka usahanya itu tidak sekali - kali akan di terima.
Islam serta penganut-penganutnya pernah mengalami suatu zaman cubaan di mana mereka ditimpa dengan pelbagai kemalangan dan dikelubungi oleh bencana yang bertubi-tubi. Pada ketika itulah musuh-musuh Islam telah bekerja untuk memadamkan sinarannya, cuba untuk menyembunyikan keindahannya bahkan untuk menyesatkan para pemeluknya, membantutkan pelaksanaan hukum hududnya serta melemahkan bala tenteranya di samping memutar ajaran serta hukum-hukumnya. Kadang-kadang mereka lakukan dengan cara mengurangkannya dan terkadang pula dengan jalan menambah-nambahkannya dan selain dari itu, dengan mentafsirkan hakikatnya dengan cara yang tidak sewajarnya.
Dalam usaha yang  jahat itu mereka mendapat peluang yang baik bila berlaku kehilangan kuasa politik dari umat Islam dan kehancuran pemerintahan sejagat mereka di samping kemerosotan semangat Muhammadiyah di kalangan bala tenteranya. Akhirnya jatuhlah seluruh umat Islam itu ke dalam genggaman umat kufur sebagai mangsa penghinaan dan penjajahan.
Oleh itu tugas utama lagi pertama bagi kita angkatan pemuda Islam ialah memberi penjelasan kepada orang ramai akan hakikat segala batas agama Islam, menjelaskan kepada mereka itu dengan seberapa terang, sempurna dan jelas tanpa sebarang tambah dan tokok atau kekurangan atau sebarang kesamaran. Tugas seperti ini merupakan sudut teori bagi hakikat fikrah kita.
Di samping itu kita mestilah mengajak mereka melaksanakan fikrah kita itu serta mendorong mereka demi menyelamatkannya serta membimbing mereka ke arah beramal dengan ajarannya. Sudut ini di namakan sudut amali bagi fikrah perjuangan kita.
Pegangan kita dalam semunya itu ialah kitab Allah yang tidak pernah diresapi oleh kepalsuan sejak dulu hingga sekarang, dan keduanya ialah sunnah yang benar serta nyata datangnya dari Rasulullah s.a.w dan juga sejarah perjalanan bersih dari angkatan salaf umat Islam ini.
Kita tidaklah menghendaki di sebalik usaha itu sebarang apa pun jua melainkan keredhaan Tuhan, menunaikan kewajipan dan memimpin umat manusia serta menunjuk jalan kepada orang ramai.
Kita akan terus berjihad demi untuk menjayakan fikrah kita itu, dan kita akan berusaha sedaya upaya demi untuk menegakkan supaya dengan itu dapatlah kita sekalian hidup mulia atau sebaliknya biarlah kita mati secara yang mulia. Cogan kata kita ialah :
Allah matlamat kami ;
Rasul itu ikutan kami ;
Al-Quran itu perlembagaan kami ;
Jihad jalan kami; dan

Mati pada jalan Allah ialah setinggi-tinggi cita-cita kami.
Read more...

Tuesday, August 16, 2016

SIRI 3 : PUNCA LUARAN PERPECAHAN UMMAH

Bismillahirrahmanirrahim



PUNCA-PUNCA LUARAN

Terdapat beberapa perkara yang datang dari luar didapati mempengaruhi pemikiran umat islam .Di antara perkara-perkara yang menyebabkan timbulnya mazhab aqidah di dalam masyarakat islam ialah kerana pengaruh yang datang dari luar agama islam.
Di antara pengaruh tersebut ialah:

PUNCA LUARAN PERTAMA :Seseorang yang baru memeluk islam dari kalangan pelbagai anutan agama seperti Yahudi,Kristian,Majusi dan lain-lain tidak membuang beberapa pegangan anutan mereka,lalu dicampuraduk dengan islam yang baru mereka anuti .
Mereka telahpun memeluk islam tetapi mereka masih mengekalkan beberapa amalan agama mereka sebelum ini.Sekiranya perkara ini berlaku pada zaman Nabi saw,dan zaman para sahabat ,dan adanya para ulama’ ketika itu melarang keras daripada perkara ini berlaku.

Masalah yang berlaku apabila mereka memeluk islam tetapi tidak belajar tentang islam.Seperti yang berlaku kepada Abdullah bin Salam r.a.Beliau merupakan salah seorang sahabat yang dijamin syurga oleh Nabi saw .Dahulunya beliau adalah seorang Yahudi yang alim ,setelah beliau memeluk islam,beliau dan rakan-rakannya meminta izin daripada Nabi saw untuk beramal dengan kitab taurat  pada setiap malam sabtu .

Kitab Taurat juga adalah kitab Allah yang diturunkan kepada Nabi Musa ,kitab suci bagi kaum Bani Israel .Walaupun di dalamnya ada beberapa perkara yang sudah diselewengkan ,ada juga di dalamnya perkara yang tidak diubah seperti berita para Nabi,tentang ALLAH,hukum hudud dan lain-lain.Maka apakah salahnya kitab Taurat ini dibacakan pada setiap malam sabtu?

Lalu Nabi saw melarang Abdullah bin Salam membaca kitab Taurat kerana kitab itu sudah dinasakhkan .Allah swt telah menurunkan ayat :

يا أيها الذين آمنوا ادخلوا في السلم كآفة ولا تتبعوا خطوات الشيطان إنه لكم عدو مبين فأن ضللتم من بعد ما جائتكم البينات فاعلموا أن الله عزيز حكيم

Wahai orang-orang yang beriman,masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhan,dan janganlah kamu mengikuti langkah syaitan ,sesungguhnya syaitan itu adalah musuh yang nyata bagi mu ,maka sekiranya kamu tergelincir  setelah datangnya keterangan maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana .

Di dalam ayat di atas,Allah menyuruh kita melaksanakan islam secara kesemuanya bukan separuh-separuh .Termasuklah ayat di atas,kepada sesiapa yang beramal dengan kitab terdahulu bermakna dia telah mengikut langkah-langkah syaitan ,namun sekiranya mereka berdegil untuk melaksanakan juga maka ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa Maha Bijaksana.

Lalu Abdullah bin Salam meninggalkan kitab Taurat walaupun kita wajib beriman kepada kitab tersebut.Namun wujud juga orang Yahudi yang memeluk islam kemudian,membawa masuk ilmu-ilmu dari agamanya .Tidak terlepas juga tok bomoh-tok bomoh masyarakat melayu yang menghafal isim ibrani secara membabi buta,sedangkan mereka sendiri tidak tahu apa yang mereka hafal .Isim ibrani ialah bahasa orang Yahudi ,mereka menghembuskan kepada pesakit lalu apabila pesakit itu sembuh adalah disebabkan bantuan syaitan.Perkara  ini tidak lain tidak bukan untuk menipu dan mengelirukan
Antara yang lain adalah ilmu sihir ,ilmu gagah ,isim-isim ibrani,ataupun hindu ,isim majusi bukanlah daripada ajaran islam.

PUNCA LUARAN  KEDUA : Perancangan jahat yang sengaja dirancang untuk merosakkan islam dan umatnya dari dalam setelah gagal menentang islam secara ketenteraan dengan kejatuhan dua kuasa besar Parsi dan Rom sehingga kemaraan tentera islam dan cahayanya tidak mampu dibendung melalui serangan .Terdapat musuh yang menganut islam secara berpura-pura menyokong golongan-golongan yang sedang bertelingkah dalam kalangan umat islam ,seperti menyokong Saidina Ali r.a  dengan cara yang melampau ,seperti yang dilakukan oleh seorang Yahudi yang bernama Abdullah bin Saba’,dan ada sebahagian musuh yang mengambil sikap menentang Saidina Ali secara melulu seperti yang dilakukan golongan Khawarij

Mereka juga memeluk islam bertujuan untuk menyerang islam dari dalam apabila mereka gagal mengalahkan islam melalui tentera .Pada zaman Nabi saw orang-orang Yahudi dan musyrikin bergabung menubuhkan bala tentera ahzab menyerang Madinah dengan jumlah yang besar iaitu seramai 10 000 tentera sedangkan jumlah tentera islam sangat sedikit.
Tentera ahzab merupakan gabungan tentera musyrikin Makkah,Bani Bakr dan beberapa kabilah serta dibantu oleh orang Yahudi .Di dalam perang ini,Allah telah membantu orang-orang islam yang berjihad bersama baginda saw dan tentera ahzab telah dikalahkan ,agama islam menjadi semakin berkembang .

Kemudian dua kuasa besar,Parsi dari arah timur dan Rom dari arah barat menyerang Islam .Pada zaman Saidina Umar al-Khattab r.a tentera Parsi dikalahkan oleh tentera Islam yang dipimpin oleh Saad bin Abi Waqqas r.a ,manakalah tentera Rom dikalahkan oleh bala tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah Amir al-Jarrah .Kedua-dua kuasa besar ini jatuh sekaligus..

Kuasa besar dunia sudah jatuh walaupun tenteranya berpuluh kali ganda lebih besar dari tentera Islam ,tentera islam 30 000 manakala musuh 500 000,tentera Islam berjaya mengalahkan musuh .

Pada zaman Saidina Umar al-Khattab,dikatakan golongan agamawan dan ilmuan Yahudi ,Kristian dan Majusi berpura-pura memeluk islam ,mereka menyusup masuk ke dalam umat islam dan menetap di kawasan pedalaman .Maka orang-orang yang duduk di pedalaman mengikuti golongan ini dan diheret kepada ilmu yang salah .

Kemudian pada zaman kerajaan Uthmaniyah  yang berjaya menawan kota Kostantinople,sebuah kota yang teguh yang dijanjikan dalam hadis Nabi saw

لتفتحن القسطنطنية فلنعم الأمير أميرها ولنعم الجيش ذلك الجيش

Allah pasti akan memberi peluang kepada umat islam membuka kota kostantinople,dan sebaik-baik raja ialah raja yang berjaya menawannya,dan sebaik-baik tentera ialah tentera yang berjaya menawannya.

Kota ini merupakan pusat kerajaan Rom timur,begitu sukar untuk ditawan kerana mempunyai meriam peluru api di dalam air yang membedil kapal-kapal yang cuba menawannya.Namun,tiba-tiba pada zaman Uthmaniyah,yang dipimpin Sultan Muhammad al-Fateh  yang berumur 21 tahun .Beliau memimpin tentera uthmaniyah dan menyusun satu strategi yang tidak disangka oleh tentera Rom iaitu dengan membina kapal di atas bukit dan melayarkannya ke laut hitam dan menawan kawasan darat sehingga berjaya membuka kota tersebut.

Selain itu tentera islam masuk ke eropah,sehingga ke Austria menawan Balkan termasuk bosnia pada hari ini.Begitulah hebatnya tentera islam Uthmaniyah sehingga menyebabkan orang Kristian marah 

Ucapan seorang paderi di German yang mengutuk Nabi saw dengan mengatakan baginda saw ganas.Islam merupakan agama keganasan,sedangkan sudah terbukti dalam siri-siri peperangan Islam hanya lebih kurang 1000 orang yang dibunuh.Berbanding dengan orang kristian yang berperang sesama kristian mengorbankan  seramai 800 000 orang.

Begitu juga tentera Salahuddin ayyubi yang tidak membalas dendam di atas kekalahan yang menimpanya,membuktikan bahawa merekalah sebenarnya pengganas dan bukan islam.Mereka berdendam terhadap islam  dan menyusup ke dalam umat islam sejak zaman saidina Umar al-Khattab r.a mengalahkan Parsi dan Rom .

Apabila berlakunya peperangan di antara Saidina Ali r.a dan Mu’awiyah r.a kerana berselisih faham dalam pembunuhan Saidina Uthman sehingga beliau syahid dibunuh oleh tangan orang Islam sendiri .Saidina Uthman merupakan menantu kepada Rasulullah saw yang berkahwin dengan dua orang anak Rasulullah saw ,beliau juga telah membelanjakan beribu-ribu dinar ketika perang Tabuk .Di dalam perang Tabuk,Saidina Uthman membawa bekas penuh berisi duit dinar,baginda saw membelek bekas itu dan berdoa daripada malam sehingga pagi

اللهم ارض عن عثمان

Ya Allah redhakanlah Uthman

Nabi menyebut lagi ‘Adakah aku tidak malu kepada orang yang malaikat malu kepadanya?’
Tiba-tiba Saidina Uthman telah dibunuh ,dan Mu’awiyah merupakan waris kepada saidina Uthman menuntut bela ke atas kematiannya kerana kononnya saidina Ali membiarkan .

Sedangkan apa yang berlaku sebenarnya adalah saidina Ali menghantar anak nya Hassan dan Hussin melalui atap rumah Uthmn kerana rumah saidina Uthman dikepung .Mereka berdua menyelinap masuk ke dalam rumah saidina Uthman dengan senjata dan meminta izin untuk berlawan dengan musuh-musuh yang cuba membunuh saidina Uthman
Saidina Uthman berkata jangan kepada mereka .

Saidina Uthman lebih rela dibunuh berbanding dia membunuh orang islam yang lain.Beberapa orang pemuda sahabat datang untuk mempertahankan saidina Uthman  dan beliau mengatakan jangan.Saidina uthman sedang membaca al-Quran lalu dibunuh dalam keadaan berpuasa,dan darahnya terpercik ke atas al-Quran yang dibacanya .

Saidina Mu’awiyah mengangkat al-Quran yang berdarah itu untuk membela saidina Uthman kerana salah faham berlaku peperangan ,lalu golongan yang berpura-pura memeluk islam menyokong saidina Ali di antaranya ialah Abdullah bin Saba’.Sebahagian pula menyokong golongan Khawarij .Khawarij ini pada asalnya menyokong saidina Ali,kemudian meninggalkan saidina Ali.

Golongan yang berpura-pura menyokong saidina Ali secara melampau ini pula mengatakan saidina Ali lebih hebat dari Rasulullah saw,ini ialah pengaruh yang dibawa oleh Abdullah bin Saba’.Sehingga satu tahap mereka mengatakan ada ruh tuhan di dalam diri saidina Ali.Kemudian saidina Ali mengarahkan supaya Abdullah bin Saba’ ditangkap dan dibunuh ,namun Abdullah bin Saba’ meminta pelepasan supaya dia tidak dibunuh.

Pengikut-pengikut Abdullah bin Saba’ telah dibunuh,namun itu tidak menggerunkan Abdullah bin saba’.Lalu saidina Ali memerintahkan agar hukuman bunuh ditukar kepada dibakar supaya lebih menggerunkan .Disebut dalam syiir saidina Ali

إني قد رأيت الأمر أمر منكرا
أجدت ناري ودعوت قنبرا

Aku telah melihat satu perkara yang mungkar
Lalu aku telah memerintahkan ‘Qanbar (nama panglima tentera) dan nyalakan api

Saidina Ali terkenal dengan seorang yang petah berkata-kata ,fasih dengan sajak dan syiir .
Tiba-tiba muncul Abdullah bin Abbas r.a menegah saidina Ali dari membakar Abdullah bin Saba’ dan pengikutnya dengan api  kerana ia akan menjadi fitnah ,lalu Abdullah bin Saba’ ditahan .

Puak khawarij merancang untuk membunuh saidina Ali dan saidina Mu’awiyah .Saidina Mu’awiyah ditetak oleh puak khawarij selepas selesai solat subuh  manakala saidina Ali ditikam dengan pedang yang dilumur dengan racun,dan akhirnya mereka syahid.

Namun puak ini masih hidup sehingga hari ini dan membawa ajaran mereka iaitu batiniyyah  (puasa batin,solat batin,haji batin) sehingga menjadikan perkara-perkara luar biasa (ilmu sesat) berlaku dengan bantuan syaitan

PUNCA LUARAN KETIGA : Penterjemahan buku-buku asing di zaman Abbasiyyah lalu mempengaruhi pengajian ilmu islam dengan kaedah yang tidak berpegang teguh dengan kitab Allah dan sunnah baginda saw seperti mengkaji aqidah dan kaedah falsafah-falsafah.

Di zaman Abbasiyyah setelah islam berkembang sehingga ke India ,Rom timur di utara Afrika ..kerajaan meminta supaya semua buku-buku asing diterjemah.Kesemua ilmu seperti ilmu hisab (math),ilmu falak,ilmu pertanian diterjemah ke dalam bahasa Arab sehingga melahirkan ramai cendekiawan yang mahir dalam ilmu dunia ,mereka mengkaji ilmu sehingga islam menempa kemajuan dan  kekuatan.Ketika itu kemajuan dan peralatan umat islam lebih canggih dan hebat dan islam melahirkan ramai pakar-pakar dalam pelbagai ilmu .

Namun banyak juga ilmu-ilmu yang salah diterjemah ke dalam bahasa Arab misalnya ilmu falsafah yang menggunakan akal semata-mata dan melupakan al-Quran dan hadis,akhirnya muncul falsafah-falsafah baru dalam aqidah islam .Membahaskan sifat Allah tetapi tidak mengenali Allah.Maka lahirlah pada zaman ini mazhab Jabbariyyah,Qodariyyah ,Muktazailah dan pelbagai lagi fahaman

PUNCA LUARAN KEEMPAT : Serangan pemikiran غزو الفكر  oleh penjajah zaman mutakhir sehingga menelan terus kefahaman terhadap islam sehingga mudah umat islam menerima ideologi-ideologi asing bahkan berjuang bersungguh-sungguh menegakkan ideologi2  serta menganggap islam tidak mampu lagi mengurus urusan dunia zaman ini.

Penjajah yang datang menjajah pemikiran umat islam melalui sekolah sekolah melayu ,akhirnya tulisan rumi dihapuskan.Belajar ekonomi,undang-undang,politik dan akhirnya melupakan syariat islam.

Komunis bukan ajaran islam,kapitalis bukan dari ajaran islam .Inilah ideologi yang diserap masuk oleh penjajah dan akhirnya melahirkan pelbagai aliran pemikiran yang akan dibacakan huraianya di dalam pengajian akan datang.


InsyaAllah siri 4 akan dipost esok :) berbaki 67 siri lagi...fastaqim untuk mendegarkan mutiara-mutiara ilmu TGHH 
Read more...

SIRI 2 : PUNCA DALAMAN PERPECAHAN UMMAH

Bismillahirrahmanirrahim



Sebelum kita mengkaji timbulnya mazhab-mazhab aqidah  secara terperinci dari segi kelahiran,peranan dan kesannya terhadap aqidah ,marilah kita mengetahui puncanya secara umum sama ada dari dalam ataupun dari luar.

Di sana ada 2 punca yang menimbulkan perpecahan mazhab aqidah di dalam masyarakat islam awal.1)Punca dari dalam diri umat islam sendiri dan 2) punca yang dilakukan oleh musuh-musuh islam daripada luar.

PUNCA-PUNCA DALAMAN ialah daripada kesan KESALAHAN PENDAPAT

Di kalangan sahabat radhiallahu anhum ,berhubung dengan perkara khilafah.Selepas wafatnya Rasulullah saw ,lahirnya 3 pendapat .Punca yang berlaku dari dalam diri umat islam ialah apabila Rasulullah saw wafat,tidak dinyatakan secara sorih (jelas) siapakah yang akan menggantikan baginda menjadi Khalifah

Makna Khalifah : نيابة عن النبوة في إقامة الدين وسياسة الدنيا به

Iaitu yang menjadi ganti kepada Nabi di dalam menegakkan agama dan politik pemerintahan melalui  deen (agama)

Oleh kerana tidak ada nas yang sorih ,maka timbul pendapat yang berbeza

Pendapat pertama :Mereka yang berpendapat bahawa khalifah itu dipilih oleh umat kepada siapa sahaja yang mereka setuju  tanpa mengira kabilah yang berpengaruh ataupun tidak.Pendapat ini adalah dari kalangan sahabat ansar radhiallahu anhum,dan mereka mencadangkan pemimpin Khazraj Saad bin Ubadah r.a.

Mereka berhujah dengan kedudukan ansar sebagai pengikut,sahabat,pembantu yang setia  kepada Rasulullah saw dan berdasarkan beberapa hadis Rasulullah saw yang sangat menyanjung mereka

Mereka juga berdalilkan hadis baginda saw:

اسمعوا وأطيعوا وإن ولي عليكم عبد حبشي

Ertinya : “Dengarlah dan taatlah sekalipun yang dilantik menjadi ketua kamu itu seorang hamba Habsyi

Golongan ansar mengatakan mereka layak menjadi Khalifah kerana mereka telah membantu membela Rasulullah saw sehingga didirikan kerajaan islam di tanahair mereka  dan mereka disanjung oleh Rasulullah saw  di dalam beberapa hadis,di antaranya ‘di mana lorong yang dilalui ansar,itulah lorong yang aku lalu’

Terdapat hadis yang menyatakan wajib dengar dan taat kepada pemimpin sekalipun yang menjadi pemimpin itu seorang hamba abdi keturunan habsyi.Hadis ini tidak mengehadkan siapa yang menjadi pemimpin .Oleh kerana itu golongan ansor mencadangkan pemimpin mereka dari kabilah khazraj Saad Bin Ubadah dilantik menjadi khalifah  selepas wafatnya Rasulullah saw.

Pendapat kedua :Mereka berpendapat bahawa khalifah itu dipilih dari kalangan keluarga Rasulullah saw kerana kedudukan yang dekat.Oleh itu mereka mencadangkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a dan kerana Rasulullah saw juga pernah bersabda  kepadanya

أما ترضى أن تكون مني بمنزلة هارون من موسى إلا لا نبوة بعدي

Ertinya : “Apakah engkau tidak redha  bahawa kedudukanmu disisiku seperti Harun dan Musa melainkan kerana sebab tiada lagi kenabian selepasku

Pendapat ini dikemukakan oleh beberapa orang dalam kalangan Bani Hashim keluarga Rasulullah saw dan orang-orang yang sependapat dengannya.Kita mesti ingat bahawa Saidina Ali karramallahuwajhah tidak mencalonkan dirinya sendiri ,tetapi beliau dicalonkan oleh keluarganya  di kalangan Bani Hashim dan Bani Mutalib .Mereka berpendapat bahawa orang yang wajar dan munasabah menjadi khalifah ialah di kalangan keluarga Rasulullah saw.

Mereka mencadangkan saidina Ali karramallahuwajhah menjadi khalifah kerana kelebihannya ,ilmunya dan keberaniannya.Terdapat juga hadis ketika Saidina Ali ditinggalkan  supaya menjadi gabenor Madinah,pengganti yang memimpin Madinah ketika Rasulullah menuju  ke Tabuk memerangi tentera Rom  diwaktu musim panas.Setelah Rasulullah saw pergi meninggalkan Madinah ,tinggallah orang-orang munafiq lalu mereka mengejek Saidina Ali karramallahuwajhah kerana tidak turut serta ke perang Tabuk.

Sedangkan baginda Rasulullah yang menyuruh Saidina Ali menjaga Madinah sepanjang peninggalannya .Oleh kerana banyaknya desas desus dalam kalangan orang munafiq yang menuduh saidina Ali penakut,maka saidina Ali keluar daripada Madinah mengejar nabi saw dan bertemu di tengah jalan dan menceritakan apa yang berlaku, Rasulullah memerintahkan kepada saidina Ali berpatah balik ke Madinah.

Lalu baginda bersabda

أما ترضى أن تكون مني بمنزلة هارون من موسى إلا لا نبوة بعدي

 “Apakah engkau tidak redha  bahawa kedudukanmu disisiku seperti Harun di samping Musa melainkan kerana sebab tiada lagi kenabian selepasku.

‘Nabi Harun menjadi pembantu kepada Nabi Musa dan engkau menjadi pembantu kepada aku,tetapi tiada lg kenabian selepasku,engkau mempunyai kelebihan.Pulanglah semula ke Madinah’

Hadis ini menjadi hujah kepada ahli bayt,golongan keluarga Rasulullah saw bahawa Saidina Ali yang layak menjadi khalifah.

Pendapat ketiga :Mereka yang berpendapat bahawa khalifah dipilih oleh umat islam dan mestilah dalam kalangan Quraisy yang dianggap kabilah yang paling berpengaruh .Mereka berdalilkan dengan sabda Rasulullah saw

الأئمة من قريش

Ertinya :Pemimpin-pemimpin itu mestilah dalam kalangan orang Quraisy.

Pandangan ini dikemukakan oleh Saidina Abu Bakr as-Siddiq r.a menyampaikan ucapan:

‘Semua kamu ada kelebihan,tetapi orang yang bakal menggantikan Nabi mestilah orang yang berpengaruh.Bukan sekadar ilmu sahaja,tetapi mestilah punyai pengaruh dari kabilah yang kuat untuk berhadapan dengan kabilah-kabilah yang banyak.Kerana kabilah yang tidak berpengaruh dan tidak kuat,walaupun ia berilmu masih tidak mampu menguasai keadaan.Oleh itu,khalifah mestilah dipilih dalam kabilah yang paling berpengaruh iaitu Quraisy

Quraisy ialah kabilah Mekah,kabilah Nabi saw.Jadi bukan dikira melalui ahli bayt,tetapi mestilah diambil kira oleh Kabilah,kerana Quraisy merupakan kabilah yang digeruni oleh musuh-musuh islam.Terutamanya negara yang sedang menghadapi kepungan orang-orang murtad’

Saidina Abu Bakr menyebut,bahawa Nabi saw pernah bersabda : الأئمة من قريش

Lalu beliau mencadangkan dua nama iaitu Saidina Umar bin al-Khattab r.a ataupun Abu Ubaidah Amir al-Jarrah menjadi khalifah ,Saidina Umar yang terkenal dengan ketegasannya dan Saidina Abu Ubaidah Amir al-Jarrah seorang sahabat yang sangat amanah .

Tiba-tiba Saidina Umar dan Abu Ubaidah lantas bangun  dan mereka berdua mencadangkan Saidina Abu Bakr as-siddiq menjadi Khalifah .Akhirnya pendapat ini diterima oleh semua yakni dalam kalangan muhajirin dan ansar termasuk juga keluarga Rasulullah saw ,mereka berbai’ah dengan Saidina Abu Bakr as-siddiq r.a menjadi khalifah umat islam,memimpin setelah wafatnya Rasulullah saw .

Saidina Abu Bakr tidak meminta jawatan yang besar ini ,tetapi dialah orang yang paling layak dengan syarat-syarat menjadi khalifah,lalu diamanahkan kepadanya.Para sahabat pula tidak dipaksa untuk melantik Abu Bakr,tetapi mereka menyedari betapa besarnya amanah khilafah ini ,dan menyedari hujah yang dikemukakan oleh golongan muhajirin  lalu dibai’ahkan Abu Bakr r.a.

Disana juga terdapat beberapa perkara lain yang menjadi hujah

Saidina Abu Bakr dilantik menjadi pengiring Rasulullah saw ketika berhijrah ,dan ketika baginda uzur Abu Bakr diminta untuk menggantikan baginda menjadi imam solat,dan solat adalah tiang agama dan perkara yang besar di dalam Islam,menandakan bahawa dialah yang layak menjadi ketua negara.

Namun pada harini,tidak mengapa pemimpin tidak tunaikan solat ,hanya sekadar boleh memberi duit,dan ini sudah lari dari asas yang digariskan oleh al-Quran
Firman Allah swt :

الذين إن مكناهم في الأرض أقاموا الصلاة وءاتوا الزكاة وأمروا بالمعروف ونهوا عن المنكر  ولله العاقبة الأمور

Ertinya : “Iaitu orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi,nescaya mereka mendirikan solat ,menunaikan zakat,menyuruh berbuat yang makruf dan mencegah daripada perbuatan yang mungkar,dan kepada Allah lah kembali segala urusan.” (al-Hajj : 41)

Akhirnya Abu Bakr dilantik menjadi khalifah,tetapi perselisihan pendapat dengan hujah-hujah dihidupkan kembali pada zaman mutakhir ini oleh anasir yang tidak sihat yang mula meresap ke dalam umat islam.

Munculnya khawarij yang menjadikan hujah memilih khalifah  secara bebas tanpa mengira pengaruh kabilah yang kuat .Muncul pula aliran syiah mengatakan Saidina Ali dan keturunannya yang layak  menjadi khalifah dan muncul juga murji’ah yang menolak semua pendapat kononnya menyerahkan urusan kepada Allah .Seterusnya pertelingkahan dalam perkara khalifah melarat kepada perkara-perkara aqidah  untuk menegakkan golongan masing-masing ,akhirnya dipengaruhi anasir yang asing daripada islam.

Apabila Saidina Uthman dibunuh  dalam fitnah yang dahsyat yang berlaku di dalam masyarakat islam,maka Bani Umaiyah membela kematian Saidina Uthman ,dan di dalam masa yang sama  أهل الحل والعقد  melantik Saidina Ali menjadi khalifah .Bani Umaiyah berkeras supaya diambil tindakan serta merta terhadap mereka yang terlibat dengan pembunuhan Saidina Uthman .Penyiasatan hendaklah dibuat terlebih dahulu ,akhirnya Bani Umaiyah yang dipimpin oleh Mu’awiyah  berperang dengan khalifah Saidina Ali karramallahuwajhah.

Dalam perkara ini tidak syak lagi kerana adanya hadis Nabi saw  yang membenarkan Saidina Ali menjadi khalifah ,dan golongan yang menentang Saidina Ali adalah penderhaka  بغاة

Sabda Rasulullah saw

قتل عمار فئة باغية

“Ammar bin Yasir akan dibunuh oleh satu golongan yang derhaka di kalangan umat islam “
Ammar bin Yasir bersama dengan Saidina Ali dalam peperangan Siffin ,maka nyata Saidina Ali merupakan orang yang benar dalam perkara ini.Ini adalah masalah dalam perkara ijtihad yang berlakunya tahkim (penyelesaian damai) ,tiba-tiba berlaku penipuan dalam perdamaian itu menyebabkan timbulnya golongan yang keluar daripada Saidina Ali yang dikenali sebagai khawarij .

Golongan ini mengatakan semua nya tidak benar,dan mereka berdalilkan dengan hujah yang tidak kuat   dan mengambil pendapat golongan ansar,mereka inilah kumpulan Khawarij .Khawarij ramai bertapak di teluk Parsi .

Adapun golongan yang bersama dengan Saidina Ali,terus bersama dengan khalifah yang sah yang sepatutnya diberi ketaatan .Selepas Saidina Ali wafat ,diadakan perjanjian untuk melantik Saidina Hassan menjadi khalifah ,tetapi perjanjian itu telah dikhianati .Selepas Saidina Mu’awiyah wafat,sepatutnya Saidina Hassan menjadi khalifah  dan inilah persetujuan yang dibuat.Tetapi apa yang berlaku adalah,setelah kewafatan Saidina Muawiyah,anak kepada beliau yang dilantik menjadi khalifah menyebabkan timbulnya pergaduhan  dan perpecahan.

Golongan yang kuat mengatakan keluarga Saidina Ali menjadi khalifah .Lahir daripadanya pandangan-pandangan yang berbeza dengan pandangan yang lain,mula timbulnya hadis-hadis di mana golongan yang bersama Saidina Ali tidak menerima hadis yang tidak menyokong Saidina Ali .Golongan khawarij pula mempunyai hadisnya sendiri ,golongan Muawiyah mempunyai hadisnya sendiri maka kesemuanya menjadi celaru.

Rentetan itu,berlakulah usaha yang dibuat oleh ulama’-ulama’ terbilang seperti Imam Hassan al-Basri dan lain-lain menapis kesemua hadis-hadis ini,dan ilmu islam..kemudian diikuti oleh Imam Abu Hanifah,Imam Malik bin Anas ,Imam Syafie dan Imam Ahmad diikuti dengan imam-imam yang lain.Mereka menapis hadis-hadis yang bercelaru ,dan lahirlah ahli Sunnah wal Jamaah.

Bertembung dengan golongan yang menyokong Saidina Ali yang mereka hadis sendiri menyebabkan timbulnya perpecahan.Isu ini ada sebahagian golongan yang benar,dan sebahagian yang salah.Golongan khawarij pula mempunyai pandangannya sendiri dan akhirnya berselisih pula dalam masalah Fiqh .Golongan khawarij mendakwa dalam permasalahan fiqh,mereka mempunyai hukum nya yang sendiri,syiah juga mempunyai hukumnya sendiri dan ahli sunnah wal jamaah mempunyai hukumnya yang sendiri.
Kemudian melarat pula kepada perselisihan aqidah.Khawarij mengatakan sesiapa yang melakukan dosa besar menjadi kafir ,pendapat ini ditolak oleh ulama’ulama’ yang mujtahid dengan mengatakan orang yang melakukan dosa besar tidak kafir.Mereka hanyalah mukmin yang derhaka

Timbul pula golongan muktazilah yang mengatakan orang yang melakukan dosa besar bukanlah kafir dan bukan mukmin tetapi mereka kekal dalam neraka

Timbul pandangan2 seperti ini yang kita akan bacakan kemudian,wallahu a’lam

Bersambung siri ke-3 esok insyaAllah :)
Doakanla stabil diri ini,mata malaysia lagi..
Read more...

Monday, August 15, 2016

SIRI 1 : BAGAIMANA LAHIRNYA FIRQAH-FIRQAH ISLAM?

Berikut merupakan audio ceramah TGHH berkenaan pengenalan kemunculan mazhab Aqidah,audio siri 1 ini selama 20 minit yang saya taip semula..secara keseluruhannya audio ini mempunyai 69 siri.Kuliah TGHH pada setiap hari Jumaat di Rusila,semoga mendapat manfaat bersama..siiru ala barakatillah

perhatian : artikel ini panjang,sila istiqamah baca :)

-Itqan zawwini-



Lahirnya beberapa firqah dalam kalangan umat islam,firqah ialah beberapa kumpulan  ataupun golongan-golongan .Untuk menyempurnakan dan mengukuhkan pengajian dalam ilmu aqidah,perlu diketahui  juga berkenaan dgn firqah atau golongan yang lahir dalam masyarakat islam,krn berlaku di dlmnya perbincangan-perbincangan hangat berkenaan aqidah dan menyentuh perkara yg berhubung dengannya

Perkara ini berlaku oleh gangguan-gangguan  yang lahir dari dari dalam,di samping berlakunya gangguan luar yang menggugat iman yg sbnrnya,menunjukkan bahawa di kalangan umat islam berlakunya masalah dalaman dan berlakunya gangguan yang dibuat oleh musuh-musuh islam dari luar ,perkara ini menyebabkan terjejasnya aqidah (I’tiqod umat islam) dan berlakunya kumpulan-kumpulan yang banyak.

Ada di kalangan kumpulan-kumpulan itu yang betul,ada yang salah (salah dari segi cabangnya) dan ia dianggap sebagai orang islam dan ada di antara mereka yang salah sehingga rosak aqidah dan membatalkan iman.

Berhubung dengan gangguan yang lahir dari dalam disebut dalam hadis rasulullah saw :

عن عوف ابن مالك رضي الله عنه قال : قال رسول الله صلى الله عليه وسلم :" افترقت اليهود على إحدى وسبعين فرقة , فواحدة في الجنة وسبعون في النار , وافترقت النصارى على ثنتين وسبعين فرقة,فإحدى وسبعون في النار , وواحدة في الجنة  , والذي نفس محمد بيده , لفترقن أمتي إلى ثلاث وسبعون فرقة , واحدة في الجنة ,واثنتان وسبعون في النار ."  قيل : يا رسول الله ! من هم قال : الجماعة  



Ertinya : Dari Auf bin Malik r.a berkata : Rasulullah saw bersabda : “Orang-orang Yahudi berpecah kepada 71 puak ,maka satu puak masuk ke dalam syurga dan 70 puak ke neraka,orang-orang Nasrani (Kristian) berpecah kepada 72 puak,71 puak ke neraka dan satu puak ke syurga,demi  Tuhan yang diri Muhammad berada di dalam tanganNya,demi sesungguhnya umatku berpecah kepada 73 puak,satu puak ke syurga dan 72 puak ke neraka.”lalu ditanya : “Ya Rasulullah,siapakah mereka itu?”Sabda baginda saw : “Mereka ialah yang berada di dalam jamaah yakni yang berada dalam kumpulan islam.”

Hadis ini menunjukkan berlakunya perpecahan setelah wafatnya nabi-nabi ataupun diangkatnya Nabi Isa alaihissalam.Selepas wafatnya Nabi Musa,orang Yahudi berpecah kepada 71 puak ,satu sahaja yang selamat iaitulah mereka yang terus mengikut ajaran Nabi Musa alaihissalam,yang berpegang dengan Islam.Semua Nabi menganut Islam,tidak ada Nabi yang menganut agama Yahudi.70 puak berbaki lagi ke neraka,mereka sesat dan menyeleweng daripada Islam yang dibawa oleh Nabi Musa alaihissalam kerana mereka mempersendakan hukum Allah swt.

Begitu juga kaum nasrani iaitu orang Kristian,yang mengaku pengikut Nabi Isa alaihissalam.Selepas diangkat Nabi Isa alaihissalam mereka berpecah kepada 72 puak,satu sahaja yang selamat,dan 71 lagi sesat dimasukkan ke dalam neraka.Puak yang satu itulah yang berpegang dengan ajaran Nabi Isa alaihissalam yang dikenali dengan Hawariyyun,merekalah yang setia dengan Nabi Isa alaihissalam.

Di sebut di dalam al-Quran :

يا أيها الذين ءامنوا كونوا أنصار الله كما قال عيسى ابن مريم للحواريين من أنصاري إلى الله . قال الحواريون نحن أنصار الله

Wahai orang-orang beriman ! Jadilah kamu penolong-penolong agama Allah sebagaimana Isa putera Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia   : “Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku  (untuk menegakkan agama) Allah ?.Pengikut-pengikutnya yang setia itu menjawab  .” Kamilah penolong-penolong agama Allah .” (surah as-Soff : 14)

Hawariyyun ini diriwayatkan seramai 12 orang ,ada di antara mereka yang ditangkap,dibelah dengan gergaji ,dibakar,merekalah yang menunggu kedatangan Nabi Muhammad saw.Adapun 71 lagi puak sesat,menyeleweng sehingga muncul bermacam-macam mazhab.Pada harini ia dikenali sebagai Katholik,Protestan,Otrtodoks dan banyak lagi mazhab yang lain dalam agama Kristian.Kesemuanya sesat kecuali mereka yang beriman kepada Allah dan rasulNYA nabi Isa alaihissalam,yang menunggu kedatangan Nabi Muhammad saw.

Umat Nabi Muhammad pula berpecah selepasnya wafat Nabi saw kpd 73 puak,kesemuanya masuk neraka melainkan satu puak sahaja iaitulah mereka yang mengikut Jemaah.Jamaah ialah mereka yang berpegang dengan al-Quran  dan berpegang dengan hadis Nabi saw.

Kita tidak boleh masuk mazhab-mazhab yang khilaf dalam perkara cabang,mereka adalah Jemaah Islam walaupun mereka khilaf dalam perkara cabang,di antaranya ialah mazhab yang empat Hanafi,Maliki,Syafie dan Hambali ,dan ada juga mazhab-mazhab yang lain seperti mazhab Zohiriah Ibn Hazmin,mazhab al-Laith ibn Sa’d,mazhab Hassan Basri,mazhab Sa’id Ibn Musayyib,mazhab Sufyan ath-Thauri,mazhab ibn thur dan banyak lagi mazhab-mazhab yang wujud dalam islam.
Di sana juga terdapat dua mazhab dalam Syi’ah iaitulah Imamiah dan Zaidiah.

**Syi’ah Imamiah mempunyai pengikutnya di Iran,Iraq dan selatan Lubnan serta beberapa wilayah.Mereka juga adalah daripada ahli Islam,

**Ada juga golongan ibadhiah yang bermazhab khawarij,iaitulah mereka penduduk Muscat,Oman.Mereka juga termasuk dalam kalangan ahli Islam

Mereka mengucap dua kalimah syahadah,mempercayai hari akhirat ,tetapi mereka bertelingkah di dalam perkara cabang yang bukan perkara berkait dengan asas syariat.Adapun mazhab-mazhab yang lain seperti mazhab batiniah (yang mempercayai kuasa batin) itu sesat dan kafir termasuklah yang menganut ideologi-ideologi komunis,sosialis,kapitalis..mereka ini diluar dari kerangka islam kerana mereka menolak al-Quran dan Hadis Nabi saw.Mereka inilah puak-puak yang terpecah namun hanya ada satu sahaja yang selamat,iaitu yang berpegang dengan al-Quran dan Hadis Nabi saw.

Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah berkata :

عن عبدالله ابن مسعود رضي الله عنه قال : خط رسول الله صلى الله عليه وسلم خطا بيده ثم قال : "هذا سبيل الله مسقيما " وخط عن يمينه وشماله  , ثم قال : "هذه السبل ليس منها سبيل إلا عليه شيطان يدعوا إليه " ثم قرأ (( وأن هذا صراطي مسقيما فاتبعوه ولا 
تتبعوا السبل فتفرق بكم عن سبيله )) رواه أحمد والحاكم والنسائي

Ertinya :Dari Abdullah bin Mas’ud r.a  berkata : “Rasulllah saw telah menggariskan dengan tangannya satu garisan kemudian baginda bersabda : ‘Inilah jalan Allah jalan yang benar’ dan baginda menggariskan lagi di kanan dan kirinya lalu bersabda : ‘Jalan-jalan ini tiada satu pun daripadanya melainkan ada syaitan yang mengajak ke arahnya ‘ kemudian Rasulullah saw menyebut firmanNYA yang bermaksud : “Dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus,maka ikutilah ia;dan janganlah kamu mengikuti  jalan-jalan (yang lain),kerana  jalan-jalan itu mencerai-beraikan kamu dari jalanNya.” (surah al-an’am: 153).

Hadis ini menunjukkan bagaimana Nabi saw mengingatkan sahabat dan mengingatkan umatnya,realiti kehidupan ini mempunyai jalan yang banyak.Namun yang benar hanyalah satu iaitu  صراطا مستقيما  yang selalu kita sebut di dalam bacaan al-Fatihah  اهدنا الصراط المستقيم  tunjukkan kami jalan yang lurus
صراط الذين أنعمت عليهم غير المغضوب عليهم ولا الضالين

Iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka,iaitu jalan nabi-nabi,jalan orang siddiqin,jalan syuhada’,jalan para solihin..inilah sahaja jalan yang betul,bukannya jalan-jalan yang lain غير المغضوب عليهم bukan jalan yang Allah murka ke atas mereka iaitulah jalan golongan ahli Kitab ,mereka tahu isi kitab tetapi mengingkarinya.Mereka ini termasuklah ulama’ su’  yang akan zohir dalam kalangan umat islam ,yang menyelewengkan agama Allah swt.Mereka ini golongan yang mengelirukan,menerangkan perkara agama tidak secara keseluruhan seperti ulama’ Bani Israel.

ولا الضالين Dan bukan pula jalan orang-orang yang sesat. الضالينbermaksud orang jahil yang tidak tahu tentang agama tetapi mengajak orang lain ke jalan yang sesat.

Inilah di antara 72 puak yang terpecah dalam kalangan umat Nabi Muhammad saw,dan kerana itulah kita seringkali mengulang ayat اهدنا الصراط المستقيم  dalam setiap rakaat,kerana setiap kali habis solat kita pasti akan menghadapi syaitan-syaitan yang berada di setiap jalan.

Siapakah syaitan ?

الذي يوسوس في صدور الناس من الجنة والناس

Iaitu yang menimbulkan kekeliruan dalam hati manusia dalam kalangan JIN yang tidak kita lihat dan dalam kalangan MANUSIA yang kita lihat.Menggunakan kata-kata yang indah dan menarik,kata-kata yang bijak tapi menyeleweng ,menggunakan duit,pangkat,hawa nafsu ,kemewahan  untuk menyesatkan manusia dari  jalan Allah swt seperti mana Nabi Adam ditipu oleh iblis ,digoda supaya makan buah kayu..

شجرة الخلد والملك لا يبلى

Buah yang apabila dimakan akan kekal hidup selama-lamanya dalam syurga dan mendapat pemerintahan yang kekal yang tidak akan jatuh.Inilah cara syaitan menipu dengan kesenangan,dan kemewahan.

Perkara ini diingatkan oleh Nabi saw.Perkara yang diberi amaran oleh Nabi benar-benar berlaku apabila orang Islam dan dia mengaku islam memandang ringan terhadap islam sehingga mereka tidak bersungguh-sungguh berpegang dan menyelesaikan masalah dengan islam.Lalu mereka mudah terpengaruh dengan kefahaman-kefahaman yang dicipta dari kejahilan atau mempunyai niat-niat jahat terhadap islam oleh musuh yang berpura-pura,sehingga kefahaman-kefahaman ini dipertahankan  sehingga sanggup mengorbankan apa sahaja.

Golongan ini bekerja kuat,bersungguh-sungguh mengorbankan wang dan tenaga untuk menyesatkan manusia dari Islam dengan berpura-pura islam.Menyuruh perkara yang baik tetapi tidak cegah perkara mungkar

*****************************************************************************
Bersambung audio siri ke-2 berkenaan punca perpecahan yang berlaku ini dari sudut dalaman dan luaran. .insyaAllah panjang umur dan masa kesempatan esok akan dipostkan

fastaqim
Read more...